Munajatlah Wahai Hamba Allah s.w.t.....

Saturday, October 9, 2010

Warkah Untuk Sahabat

Warkah Untuk Sahabat...
Sahabat..
Ketahuilah olehmu, aku mencintai dan menyayangimu kerana Rasulullah memerintahkan begitu. Ya,tidak beriman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.

Sahabat..
Pernahkah kau terfikir mengapa Allah menciptakan kita di dunia ini?
“ Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kapadaKU.” Begitu firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 56.
Bukankah sudah jelas kewajipan kita hidup di dunia ini adalah semata-mata untuk beribadah kepadaNYA? Tetapi sahabat, apa pernah kita terfikir, sejauh mana kita sebagai hamba telah menjalankan kewajipan kita itu?

Wahai sahabat..
Luangkanlah sedikit dari masamu untuk kita merenung kembali ke dalam diri.
Terhitungkah kita berapa banyak nikmat Allah yang telah kita kecapi SECARA PERCUMA sejak kita di dalam kandungan ibu sehingga lah ke saat ini?
Nikmat udara, nikmat kesihatan, nikmat keamanan, nikmat anggota tubuh badan, nikmat kasih sayang keluarga dan kawan-kawan, nikmat belajar dengan selesa, dan pelbagai lagi nikmat yang sememangnya tidak mungkin dapat di hitung. Betapa Pemurahnya Allah kepada kita.
“ Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?” (Surah Ar-Rahman)
Kemudian, marilah kita menghitung amal ibadah yang telah kita kerjakan selama ini. Yakinkah kita amal ibadah kita selama ini sudah cukup untuk terhindar dari azab Allah yang sangat dahsyat? Atau sudah cukupkah amal-amal itu untuk kita sekadar mencium bau harumnya syurga? Terjaminkah nasib kita di hadapan Allah kelak? Allah telah menjanjikan syurga kepada Rasulullah SAW, tetapi baginda tetap juga taat beramal soleh. Kita?? Bagimana??
Bagaiman pula dengan dosa-dosa kita? Renung-renungkanlah duhai sahabat.

Sahabat yang ku kasihi..
Janganlah kita leka dengan kehidupan di dunia yang penuh dengan senda gurau, permainan, keseronokan dan kesenangan yang bersifat sementara. Sedangkan kehidupan akhiratlah yang kekal abadi. Dunia adalah tempat untuk kita bercucuk tanam agar hasilnya dapat kita tuai kemudian hari. Jika kita terus leka, apakah bekalan kita untuk bertemu dengan Allah pada hari perhitungan nanti?
 Beramallah wahai sahabat sementara masih ada masa. Mengapa perlu bertangguh dalam melakukan kebaikan? Yakinkah kita esok, lusa bahkan untuk seminit akan datang ini kita masih bernafas? Bagaimana kalau Izrail datang menjemput? Bolehkah ajal itu di tangguh? Sekali-kali tidak.. Marilah kita beramal dan sama-sama memohon keampunan Allah. Sesungguhnya pintu taubat masih terbuka seluas-luasnya untuk kita.
“ Wahai hamba-hambaKU yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri. Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, DIA lah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu, kemudian (ketika itu) kamu tidak dapat ditolong lagi.” (Az-Zumar : 53,54)

Wahai sahabatku..
Berusahalah untuk menghindari dosa. Jagalah waktu solatmu, tutuplah auratmu, janganlah berdua-duaan dengan yang bukan muhrim apatah lagi bersentuhan dengan mereka, jadilah anak yang soleh/solehah, berbuat baiklah sesama insan dan kerjakanlah amal sebanyak mungkin. Itulah sebahagian dari jihad kita. Sungguh, jihad itu pahit, tetapi yakinlah, syurga Allah itu manis, penuh dengan kenikmatan terus menerus.
Sahabat..
Marahkah kau jika aku sekadar ingin menegur, menasihati dan member peringatan?
“ Berikanlah peringatan, kerana peringatan itu bermanfaat.” (Al-A’ala: 9)
Maafkan lah aku andai diri ini tidak dapat menjadi sahabat yang sempurna bagimu..
Maafkan aku andai segala teguranku membuatkan kita semakin jauh..
Tapi kalau itulah harga yang perlu aku korban..
Agar dirimu lebih dekat dengan DIA Yang Maha Esa..
Aku sanggup..
Ketahuilah olehmu sahabat..
Bahawa aku tidak mahu persahabatan kita hanya di dunia ini sahaja..
Aku mengharapkan agar ianya terus kekal abadi sehingga di akhirat kelak..
Bukankah Allah ada berfirman..
Pada hari perhitungan kelak..
Sahabat-sahabat semasa di dunia akan saling bermusuhan di akhirat..
Kecuali mereka yang bersahabat kerana Allah..
 Dan ketahuilah olehmu sahabat..
Aku tidak sanggup untuk bermusuh denganmu di hadapan Allah kelak..
Maka oleh kerana itulah..
Aku cuba untuk
Aku menyayangi dirimu kerana Allah semata-mata..
Tidak ada lain yang aku inginkan..
Agar persahabatan kita ini mendapat rahmat dari Illahi

No comments:

Post a Comment